15 TEMPAT WAJIB KUNJUNGI DI SABAH (2019)

by - December 13, 2019

15 TEMPAT WAJIB KUNJUNGI DI SABAH (2019) | Sabah, merupakan negeri yang indah berbentuk muka bumi yang bergunung-ganang. berhutan hijau mekar dan dikelilingi Laut Sulu di bahagian timur lautnya, Laut China Selatan di bahagian pantai baratnya dan Laut Celebes di selatan.

Di samping keindahan bentuk muka buminya, negeri di bawah bayu ini juga turut menawarkan pelbagai aktiviti yang menarik kebanyakannya dapat mendekatkan anda dengan keindahan dan keunikan alam semulajadi.

Apakah aktiviti-aktiviti tersebut dan di mana tempat yang menarik yang wajib anda kunjungi apabila bercuti di Sabah? Teruskan membaca untuk memahami dengan lebih mendalam mengapa negeri ini menjadi destinasi pelancongan yang terkenal bukan sahaja bagi rakyat Malaysia, malah menjadi destinasi idaman bagi pelancong-pelancong dari seluruh dunia.


15. TAMAN LAUT TUNKU ABDUL RAHMAN

Jutaan tahun yang telah lalu, terjadinya satu fenomena alam di mana ais mencair sehingga mengubah paras laut dan memberi kesan kepada daratan untuk terbahagi kepada beberapa buah pulau yang terasing. Inilah yang telah terjadi kepada lima buah pulau iaitu Pulau Gaya, Pulau Sapi, Pulau Manukan, Pulau Mamutik dan Pulau Sulug.

Kesemua pulau inilah yang membentuk Taman Laut Tunku Abdul Rahman. Daripada kesemua pulau ini, hanya empat sahaja pulau yang menjadi tempat hangat dalam kalangan para pelancong iaitu Pulau Gaya, Pulau Sapi, Manukan dan Mamutik.


Bagaimana untuk anda menikmati keindahan percutian di taman laut ini? Anda boleh berisland hopping, snorkelling, sea walking, menyelam skuba, parasailing atau sekadar berkelah bersama keluarga. Terlalu banyak cara untuk anda bersatu dengan keindahan yang telah ditawarkan.

Untuk anda menuju ke pulau-pulau ini, anda boleh mendapatkan bot dari Jesselton Point yang terletak di bandar Kota Kinabalu. Sebelum ke sini, jangan lupa untuk bawa bekalan makanan yang mencukupi kerana makanan yang dijual di pulau agak mahal.


14. GUNUNG KINABALU

Tarikan yang satu ini tidak asing lagi dalam kalangan pelancong yang melancong ke Sabah. Gunung kinabalu yang merupakan puncak tertinggi di Malaysia. Disebabkan statusnya, Gunung Kinabalu telah menjadi dambaan ramai kaki hiker yang ingin mencuba sesuatu aktiviti yang ekstrem.

Bukan mudah untuk menuju ke puncaknya kerana ramai yang mencuba berpotensi untuk mengalami masalah seperti mabuk bukit, kekejangan dan lain-lain yang disebabkan altitud yang agak tinggi dan tahap kecuramannya.


Pastikan anda mendapat latihan dan nasihat yang sepatutnya sebelum ke sini.

Pemandangan yang dinikmati dari puncak gunung sangat sukar untuk diungkapkan dengan kata. Terutama sekali ketika matahari mula membenamkan cahayanya. Jangan lupa untuk membawa banyak pakaian yang dapat menghangatkan badan termasuklah sarung tangan disebabkan cuaca yang sejuk.





13. PULAU MANTANANI

Tarikan yang terletak di bahagian pantai barat Sabah ini sebenarnya terbahagi kepada dua bahagian iaitu Mantanani Besar dan Mantanani Kecil.

Pada suatu ketika dahulu, di sekitar pulau ini cukup mudah untuk anda terserempak dengan ikan lumba-lumba atau dugong. Daratannya pula sering sekali menjadi tempat persinggahan penyu untuk bertelur. Namun, pemandangan ini semakin berkurangan. Tetapi siapa tahu mungkin rezeki anda.

Untuk menuju ke sini, anda boleh mendapatkan perkhidmatan bot yang ditawarkan penduduk kampung di Rampayan, Kota Belud, perjalanan untuk ke pulau dengan bot mengambil masa sekitar 45 minit ke 1 jam bergantung pada keadaan ombak pada masa itu. Untuk ke Kota Belud dari Kota Kinabalu pula mengambil masa dalam sekitar satu setengah ke dua jam.



12. LOK KAWI WILDLIFE PARK

Lok Kawi Wildlife Park terbahagi kepada dua bahagian iaitu bahagian zoologi dan botani. Sepanjang perjalanan melihat haiwan-haiwa eksotik yang ada, anda akan dilindungi daripada sinaran matahari terik oleh dedaun pokok hutan hujan.

Antara haiwan yang dapat dilihat adalah orang utan, monyet belanda, harimau, gajah dan banyak lagi. Di zon botaninya, anda boleh melalui laluan berkepanjangan sekitar 1.4km yang disediakan untuk anda melihat kepelbagaian flora yang ada di dalam rimba.


Tertarik untuk datang ke sini? Waktu yang terbaik adalah seawal pagi yang mungkin kerana pada waktu ini haiwan masih aktif.



11. SPA IKAN DI SUNGAI MOROLI

Setelah puas berjalan di tempat-tempat yang menarik di Sabah, pastinya kaki anda merasa penat dan lenguhkan? Itu petandanya anda perlu singgah ke Spa Ikan, Sungai Moroli.

Di sini, kaki anda akan diberikan layanan yang istimewa daripada ikan-ikan yang berenang bebas di dalam sungai tersebut. Ikan terapi yang datang dalam pelbagai saiz dan jenis ini akan mendekati kaki anda sebaik anda merendamkan kaki ke dalam air.

Jangan risau, gigitan ikan ini sangat lembut dan bertujuan untuk membuang kulit mati yang ada pada kaki anda. Satu pengalaman yang sangat unik. Masa yang diperuntukkan untuk setiap pengunjung adalah selama 15 minit sahaja.



10. TURTLE ISLAND PARK

Terdiri daripada tiga buah pulau iaitu Pulau Selingan, Bakungan Kecil dan Pulau Gulisan, Turtle Island Park ini adalah syurga bagi penyu karah dan penyu agar yang kian semakin diancam kepupusan di kawasan yang lain.

Pulau Selingan ini merupakan pulau yang terbesar daripada yang lain telah menempatkan pejabat, pusat penetasan, penginapan dan pelbagai fasiliti asas yang lain. Pulau lain pula digunakan untuk aktiviti pemuliharaan penyu.


Sekiranya anda meluangkan masa untuk melihat tarikan ini, anda mungkin berpeluang untuk melihat di depan mata bagaimana penyu bertelur atau melihat suasana ketika renjer melepaskan penyu yang telah cukup usia ke dalam lautan. 



9. KOLAM AIR PANAS PORING (PORING HOT SPRING)

Kolam Air Panas Poring sebenarnya bukan hanyalah sekadar kolam. Di sini, anda bakal dikejutkan dengan bermacam jenis aktiviti yang lain yang dapat menceriakan percutian anda seperti canopy walk, melawati kawasan air terjun, melawati taman rama-rama dan muzium serangga, meneroka bat cave dan juga berjungle trekking. Keseronokan yang dapat dinikmati tanpa mengira usia.

Bagaimana pula dengan kolam air panasnya? Anda bakal dapat merasai pengalaman berendam badan di dalam kolam air panas semula jadi yang berpunca daripada gunung. Bukan itu sahaja, untuk lebih privasi, anda juga boleh mendapatkan kolam peribadi dengan caj yang sangat berpatutan.



8. PULAU SAPI

Bagi yang sukakan aktiviti lasak, di Pulau Sapi terletaknya Coral Flyer yang merupakan zipline yang terpanjang di dunia. Aktiviti lain yang wajib anda buat kalau sudah ke sini adalah seperti snorkelling dan selaman skuba terutamanya pada waktu-waktu yang mana matahari memancarkan cahaya yang cerah, dengan air yang agak jernih, cahaya matahari dapat menembusi air laut yang membolehkan anda menikmati panorama indah kehidupan di sekeliling batu-batu karang laut yang penuh warna-warni dengan jelas sekali.

Bulan Februari sehingga Mei merupakan bulan yang terbaik untuk melawat Pulau Sapi disebabkan pulau ini memiliku segalanya yang diidamkan oleh pencinta alam semulajadi seperti air laut yang jernih, hutan yang mekar menghijau dan pantai yang berpasir putih.



7. MASJID KOTA KINABALU

Merupakan masjid kedua terpenting di Kota Kinabalu selepas Masjid negeri di Sembulan. Kos pembinaan Masjid Kota Kinabalu ini adalah sekitar 34 juta ringgit. Seni binanya diinspirasikan daripada Masjid Nabawi yang terletak di Madinah.

Juga digelarkan sebagai Masjid Terapung kerana dikelilingi oleh lagun buatan manusia. Bukan itu sahaja, masjid ini juga agak lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti mesin ATM, klinik penjagaan paliatif, 3 buah madrasah dan ladang ikan.

Kalau anda nak menikmati pemandangan masjid yang indah ini dengan lebih dramatik lagi dari air yang terdapat di sekeliling, anda boleh menaiki bot pedal yang disediakan oleh pihak masjid.



6. PASAR FILIPINA

Pasar Filipina ini merupakan syurga bagi pencinta makanan. Di sini anda akan dapat menemui pelbagai jenis makanan laut. Maklumlah kan, Sabah memang kaya dengan hasil laut.

Kalau anda ke sini, jangan lupa untuk mencuba makanan popular di sini iaitu BBQ kepak ayam madu yang memang terkenal dan sedap. Walau lapar macam mana pun, jangan endahkan kebersihan kedai yang dipilih.



5. SIGNAL HILL OBSERVATORY PLATFORM

Bentuknya yang seperti UFO. Tapi bukanlah UFO. Ianya merupakan dek pemerhatian yang terletak di Signal Hill, puncak tertinggi di Kota Kinabalu. Di sinilah anda dan keluarga dapat menikmati pemandangan terindah dan terbaik sekitar Kota Kinabalu. Tiada tempat yang dapat melawan pemandangan dari Observatory Platform ini.

Di sini sangat berangin sepoi-sepoi, dapat pula anda menyaksikan pemandangan sekitar Kota Kinabalu sehingga ke pulau-pulau yang lain.



4. DESA CATTLE DAIRY FARM

Desa Cattle Dairy Farm ini juga digelar sebagai New Zealand kecil negeri Sabah kerana panorama sekelilingnya yang kelihatan seperti di negara orang Maori itu. Sedangkan ianya hanya di Sabah sahaja. Pemandangan ladang lembu ini sangat menyejukkan mata dengan kehijauan rumputnya yang seluas pandangan mata.

Bukan itu sahaja, bukit-bukau di sekeliling ladang ini juga menjadikan pemandangan 100 kali lebih memukau sesiapa sahaja yang datang ke sini. Kalau dah datang ke sini, jangan lupa untuk membeli produk-produk tenusu hasil daripada ladang ini.



3. KUNDASANG WAR MEMORIAL

Mula dibuka pada sekitar tahun 1962. Tapak memorial ini digunakan untuk memperingati wira-wira warga Australia, British dan masyarakat tempatan yang terbunuh sewaktu peperangan dunia kedua meletus suatu ketika dahulu.

Di sebalik memperingati wira-wira yang berani ini, anda dapat menikmati pemandangan indah taman-taman yang terdapat di sini yang berbeza tema untuk menggambarkan perbezaan kewarganegaraan wira-wira ini.



2. LADANG TEH SABAH

Ladang Teh Sabah ini merupakan ladang teh organik yang satu-satunya di kepulauan Borneo. Berketinggian 2272 kaki dari aras laut dan bekeluasan 6200 ekar. Dari sini, anda akan dapat melihat pemandangan hutan rimba dan Gunung Kinabalu yang sangat mengasyikkan.

Perjalanan anda di sini tidak patut berhenti di ladangnya sahaja. Alang-alang dah sampai, singgahlah ke kilang tehnya sekali untuk menikmati pengalaman yang sukar untuk anda dapat ini.



1. RUMAH TERBALIK TAMPARULI

Bagaimanalah kalau agaknya dunia ini semuanya terbalik? Nak tahu macam mana rasanya, anda boleh ke Rumah Terbalik Tamparuli untuk melihat setiap perabot yang telah disusun secara terbalik.

Di kawasan ini juga terdapatnya 3D Wonders Museum untuk anda singgah.


Itulah dia serba sedikit tempat wajib yang anda kunjungi apabila bercuti di Sabah. Pastikan anda pergi semuanya untuk menikmati keindahan alam yang mungkin kita tidak dapat di tempat asal kita. 


You May Also Like

0 Comments